Quantcast
Channel: Pilihan Anda
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

Kenapa batal debat kalimah Allah? - Noh Omar

$
0
0
PETALING JAYA: Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mempertikaikan debat Kalimah Allah yang sepatutnya diadakan hari ini dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad dibatalkan pada saat akhir.

“Saya dah bersedia dengan hujah-hujah tetapi amat kesal kerana debat ini dibatalkan pada saat akhir.

“Saya rasa ini peluang untuk saya nak ‘sekolah’kan Khalid Samad yang selalu mempertikaikan kalimah Allah untuk orang islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya tetap akan pergi pada pukul 2.30 petang ini dan bersemuka dengan Editorial Kumpulan Media Karangkraf bagi mendapatkan penjelasan.

Katanya, tiada sebab untuk membatalkannya kerana ini ruang kebebasan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai penggunaan kalimah Allah mengikut undang-undang Malaysia.

Antaranya tafsiran Artikel 11 Perlembagaan, enakmen kedaulatan undang-undang termasuk resolusi 10 perkara Sabah dan Sarawak yang diputuskan Kabinet.

Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan tidak akan menyentuh isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan polemik.

“Dari segi hukum akidah kita tak perlu nak debat sebab jawatankuasa fatwa negeri dan kebangsaan dah nyatakan pendirian.

“Kita hanya akan fokus hujah dari segi undang-undang, nak bagi terang Khalid sebab dia tak faham apa yang dia cakap, dia tiada latar belakang undang-undang.

“Kita juga nak bawa perpaduan Melayu yang menyebabkan seolah-olah Melayu berpecah, itu tujuan kita,” katanya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen yang menjaga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah sepenggal serta bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, Khalid dalam responnya berkata debat itu sepatutnya dilihat sebagai peluang membetulkan persepsi orang ramai mengenai penggunaan kalimah Allah dikalangan orang bukan Islam.

“Inilah peluang mereka untuk patahkan hujah saya dan buktikn ‘kejahilan’ saya serta kononnya saya ‘gadai’ Islam. Kenapa batal?

“Saya mahu semua tahu kalimah Allah boleh digunakan untuk semua orang.

“Pernahkah Nabi Muhammad menghalang bukan Islam menyebut Allah,” soalnya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara didunia yang mengharamkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan ia tidak wajar dihalang.

Katanya, tindakan mengharamkan penggunaan kalimah Allah adalah tindakan politik, begitu juga dengan keputusan membatalkan anjuran debat pada saat akhir.

“Islam bukan milik Melayu untuk dicorakkan ikut suka mereka,” katanya.

Debat ‘Isu Kalimah Allah: Dari Perspektif Perundangan’ anjuran akhbar Sinar Harian itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada pukul 2.30 petang ini di Kompleks Karangkraf di Shah Alam.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf Datuk Abd Jalil Ali berkata, keputusan di saat akhir dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat yang disuarakan pelbagai pihak.

“Setelah meneliti pandangan dan nasihat daripada tokoh-tokoh agama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga mereka yang prihatin, kami mengambil keputusan untuk membatalkan debat ini.

“Kami memahami perasaan dan sentimen umum semasa dan justeru itu kami mengambil keputusan ini,”katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Minggu lalu, beberapa NGO termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) menggesa agar debat itu dibatalkan kerana bimbang membawa kemudaratan kepada umat Islam.

FMT

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129