Quantcast
Channel: Pilihan Anda
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

Tipu RM196,400, bekas penyanyi tukar pengakuan

$
0
0
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Bekas penyanyi Kumpulan Tiga Jumaat menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang terhadap tujuh pertuduhan menipu berjumlah RM196,400 membabitkan tujuh individu tahun lepas.

Mohd. Qhairol Iqhssan Yusof, 28, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga majistret iaitu Noor Farah Hazwani Osman, Zulyana Zollkapli dan Ayuni Izzaty Sulaiman.

Pada 29 Januari lepas, Mohd Qhairol dari Sandakan, Sabah mengaku bersalah terhadap tujuh daripada sembilan pertuduhan menipu berjumlah RM235,400 membabitkan sembilan individu di hadapan Majistret Ayuni Izzaty dan mahkamah menetapkan hari ini untuk sebutan bagi mendengar fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Mohd Qhairol, yang ketika kejadian merupakan pegawai bank, didakwa terhadap lima dakwaan menipu Maya Haryanto, 21, yang juga anggota Kumpulan Tiga, Afiq Adham Mustamin, 28, Nur Hidayah Mohd Yusof, 30, Mohammad Faizal Ahmad, 33, dan Mohd Afendy Izani Arizal, 35, sehingga mendorong mereka menyerahkan wang RM166,200 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.

Tertuduh turut didakwa terhadap dua tuduhan menipu Nazim Mustapah, 28, dan Rosli Ahmad, 41, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dia adalah wakil Ambank yang mengurus dan meluluskan permohonan pinjaman perumahan mereka sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM47,950 kepada tertuduh.

Mohd Qhairul yang pernah menyanyikan single pertama berjudul 'Pengakuan' juga berdepan tuduhan menipu Mohd Firdaus Satir@Satar, 29, dan Hairul Faizal Mohd Siraj, 32, sehingga mendorong kedua-dua mangsa menyerahkan masing-masing RM8,750 dan RM12,500 kepadanya.

Wang itu diserahkan kepada tertuduh sebagai bayaran yuran guaman dan untuk bayaran penyelesaian penuh pinjaman peribadi.

Kesemua pertuduhan dilakukan di Ambank Bhd Cawangan Bandar Baru Ampang, No.5G & 7G, Jalan Wawasan Ampang 2/10, Bandar Baru Ampang antara 31 Mei hingga 30 Sept, tahun lepas dan dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Purnima memaklumkan kepada mahkamah peguam S Parvin telah menarik diri daripada mewakili Mohd Qhairol dan perkara itu diakui peguam terbabit yang turut hadir pada prosiding hari ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Mac untuk sebutan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam baharu selain mengekalkan wang jaminan RM171,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini. -BERNAMA

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129