![]() |
Gambar hiasan |
Wanita berusia 24 tahun itu ditahan buat kali kelima dalam tempoh 14 bulan mengaku tidak mahu lagi terbabit dalam pelacuran kerana serik ditahan pihak berkuasa dan kali terakhir dicekup malam tahun baru lalu.
Lebih mengejutkan, wanita yang mengandung tujuh bulan itu ditahan ketika tidur bersama pasangan lelakinya lingkungan 20-an dalam bangsal ditutupi plastik kanvas, malah berpura-pura tidak sedar ketika anggota penguat kuasa melakukan serbuan.
Dia mendakwa terpaksa tinggal di kawasan itu selepas diusir keluarga sejak hamil anak pertama yang kini berusia lima tahun akibat perbuatannya yang melakukan hubungan seks seawal usia 15 tahun.
Katanya, dia dibawa seorang kenalannya ke kawasan pelacuran itu sebelum terjebak dengan aktiviti tidak bermoral itu demi mencari sesuap nasi dengan melayan nafsu lelaki mata keranjang termasuk warga asing dengan bayaran RM70 setiap perkhidmatan.
“Saya tidak ingat siapa bapa kepada dua anak yang kini berusia lima tahun dan 12 bulan kerana terlalu ramai pelanggan, tetapi kedua-dua anak itu kini dipelihara keluarga angkat.
“Sejak hamil anak ketiga, saya mula terfikir untuk berhenti sebagai pelacur kerana memikirkan ibu dan bapa selain keluarga bakal ibu mentua yang baik.
“Saya serik dan kalau boleh tak mahu melacur lagi, malah merancang berkahwin dan hidup bahagia seperti orang lain,” katanya ketika ditemui, di sini.
Wanita itu antara dua pelacur dan lima pasangan yang ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam operasi cegah maksiat di sekitar bandar raya ini.
Ketika ditahan, wanita itu hanya memakai seluar pendek paras paha dan berkemeja-T turut mengaku seronok melakukan hubungan seks untuk menyara hidup selepas dibuang keluarga selain ketagih untuk mendapatkan seks.
“Saya juga ketagih merokok dan tak pernah mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengetahui keadaan bayi yang dikandung kerana apa yang penting melayan nafsu lelaki setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Undang-undang Syariah JAIK Kedah Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pihaknya menahan dua wanita dipercayai pelacur lingkungan 20-an termasuk seorang daripadanya hamil dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 19, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Katanya, pihaknya turut menahan pasangan lelaki itu mengikut Seksyen 9 (1), enakmen sama kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya.
“Dalam operasi sama, JAIK turut menahan lima pasangan berusia antara 20-an hingga 50-an dalam serbuan di beberapa hotel murah di sekitar bandar raya ini kerana disyaki berkhalwat di mana siasatan dibuat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) enakmen sama.
“Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan,” katanya memaklumkan mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan.
Harian Metro