Quantcast
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

PRK Kajang: PAS ancam boikot kempen

Pemuda PAS Selangor mengancam memboikot kempen pilihan raya kecil Kajang jika PKR gagal memberi penjelasan bertulis munasabah terhadap pengosongan kerusi DUN itu.

Ketua Pemuda PAS negeri Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, jika penjelasan gagal dibuat, arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jenteranya supaya tidak bekerjasama membantu kempen calon PKR.

"Merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan yang menuntut agar PKR mengemukakan penjelasan bertulis yang munasabah kepada Ketua Pemuda Pemuda PAS.

"Pemuda PAS Selangor sebulat suara bersetuju sekiranya PKR gagal berbuat demikian maka arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jentera Pemuda PAS Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam kempen pilihanraya kecil DUN Kajang jika calon yang dikemukakan adalah daripada PKR," katanya.

Dalam kenyataannya, Syarhan berkata tidak wajar tindakan ADUN Kajang Lee Chin Cheh melepaskan jawatan itu tanpa sebarang alasan kukuh dan mengibaratkan tindakan itu "mengkhianati amanah rakyat" memandangkan majoriti 6,824 undi yang diperolehinya dianggap agak besar.

Sambil menyatakan kekesalan dan kecewa mereka kerana keputusan dibuat dilihat membelakangkan rakan dalam Pakatan Rakyat, Syarhan berkata jumlah perbelanjaan untuk pilihan raya kecil juga melibatkan penggunaan wang rakyat yang agak besar.

"Melihat situasi yang berlaku, perletakan jawatan itu hanya semata-mata untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sepertimana yang telah diumumkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Tindakan untuk menyelesaikan masalah dalaman dan pentadbiran parti tidak seharusnya membabitkan pembaziran wang rakyat," katanya.

Syarhan turut mengingatkan PKR bahawa Selangor adalah negeri yang ditadbir secara bersama oleh tiga komponen dalam Pakatan dan tiada istilah negeri itu adalah negeri PKR atau sebaliknya.

"Maka tindakan sebegini akan mengeruhkan suasana politik antara Pakatan Rakyat dan memberi imej negatif kepada rakyat," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129