Quantcast
Channel: Pilihan Anda
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

Kerajaan Selangor takut bayang-bayang sendiri

$
0
0
SHAH ALAM 20 Jan. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diibaratkan sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri apabila mengarahkan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, kerajaan negeri dipercayai semakin bimbang dengan peranan GiatMara dalam menyediakan latihan kemahiran kepada golongan belia khususnya bumiputera sehingga sanggup membuat keputusan terdesak sedemikian.

Menurutnya, arahan berkenaan ternyata mempunyai agenda tertentu dan tidak ubah menjurus kepada kepentingan politik semata-mata.

"Kerajaan negeri mungkin melihat peranan yang dimainkan oleh GiatMara boleh menyekat kemaraan mereka (dari segi pengekalan kuasa politik). Mereka takut dengan usaha yang dibuat oleh Kerajaan Pusat menerusi GiatMara. Mereka takut tidak lagi berkuasa pada masa akan datang.

"Isu ini dilihat lebih banyak tertumpu kepada aspek politik. Mereka tidak memikirkan nasib rakyat secara keseluruhannya tetapi lebih kepada kepentingan parti.

"Akhirnya yang rugi adalah rakyat terutama golongan muda yang memerlukan latihan kemahiran seperti yang disediakan oleh GiatMara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor Ke-11 di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Mubarak, Tan Sri Abd. Aziz Rahman.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini memberi tempoh kepada pengurus pusat GiatMara Selayang supaya mengosongkan premis tersebut tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan berkuatkuasa 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014.

Sementara itu, Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor mengingatkan Abdul Khalid supaya tidak mengelirukan rakyat dengan alasan kononnya mahu memberi peluang kepada pusat GiatMara itu meneruskan operasi.

"Setakat ini kita masih lagi menunggu surat daripada kerajaan negeri untuk membenarkan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) menaiktaraf pusat GiatMara tersebut seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar.

"Pada masa sama, Mara juga kena mohon tapak tersebut secara rasmi. Sekiranya kerajaan negeri ikhlas, mereka kena luluskan permohonan tersebut untuk kepentingan rakyat," ujarnya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129