Quantcast
Channel: Pilihan Anda
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

Didakwa hina ahli parti, penyokong minta DS Anwar nasihat MB Khalid

$
0
0
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menasihatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exconya supaya menghormati kepimpinan PKR kerana tanpa parti mereka tidak berada di jawatan tersebut.

Ketua Umum PKR itu juga diminta memperbetulkan ilusi tentang peluang pimpinan parti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tiada persepsi pimpinan parti tidak layak dan korup.

Dalam surat terbuka kepada Anwar, Shahrizal ibrahim berkata, Abdul Khalid sangat bertuah kerana diangkat sebagai Menteri Besar Selangor walaupun menyertai parti tidak sampai setahun sebelum kemenangan PRU 12 pada tahun 2008.

“MB (Menteri Besar) pernah mengingatkan ahli parti semasa beliau mula menyertai PKR dengan ungkapan “kalau tidak ada duit, jangan berpolitik”.

“Kalau itu ukurannya, tentu sudah lama PKR terkubur kerana kebanyakan penggerak parti adalah dari kalangan marhaen, bukan bangsawan,” kata Shahrizal yang tidak menyatakan butiran peribadi tetapi dipercayai ahli atau penyokong PKR.

Beliau menambah, Abdul Khalid menganggap pemimpin parti tidak jujur dan akan melakukan penyelewengan sekiranya diberi jawatan.

Bagi Shahrizal, tanggapan ini adalah penghinaan dan mengaibkan pimpinan parti.

`Menelan rasa kecewa’


“Akhirnya lantikan tidak memberi peluang kepada pimpinan parti, (tetapi) individu yang rapat walau bukan ahli parti diberi peluang menjawat posisi dalam pejabat MB dan GLC dengan alasan layak dan tidak korup.

“Oleh kerana pimpinan menghormati serta menyanjungi perjuangan DS (Anwar), saya yakin kalangan pimpinan yang terkilan terpaksa menelan rasa kecewa sekadar sembang kedai kopi.

“Mereka tiada iltizam mengangkat isu ke peringkat atasan kerana khuatir akan dikenakan tindakan disiplin,” katanya lagi.
Shahrizal berkata, polemik ini dibimbangi akan melemahkan pimpinan negeri dan cabang kerana usaha mereka tidak dihargai, malahan dihina sebagai pemimpin korup.

Beliau menambah, memberi peluang pimpinan parti memegang jawatan tidak harus ditafsir sebagai punca penyelewengan.

Sebaliknya, tambahnya, pendapatan halal melalui lantikan akan dapat meringankan beban ekonomi dan secara langsung menjadi sumber membina kekuatan parti.

FMT

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129