![]() |
Kim Swee (kanan) bersama pemainnya ketika aksi penentuan pingat gangsa yang menyaksikan Harimau Muda kecundang 2-1 kepada Singapura, kelmarin. |
Nay Pyi Taw: Skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee akhirnya mengulangi ‘pencapaian’ skuad kendalian B Sathianathan yang pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
Selepas skuad kendalian Datuk K Rajagobal berjaya menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009 di Laos, Kim Swee berjaya mengulanginya dengan membawa pulang pingat emas dari Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.
Harapan untuk melihat Malaysia berjaya merangkul hatrik untuk ibu segala pingat emas itu lebur pada Sukan SEA 2013 di Myanmar apabila skuad ‘tempang’ Kim Swee kali ini kandas di separuh akhir apabila tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Indonesia selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.
Malah pingat gangsa yang diidamkan sebagai pengubat kekecewaan juga tidak kesampaian apabila Harimau Muda tewas pula 2-1 kepada Singapura pada aksi penentuan tempat ketiga, kelmarin.
Pilihan terhad
Dua faktor yang dikatakan sebagai punca kegagalan ialah ketiadaan lapan tonggak utama pasukan serta jadual padat yang menyaksikan skuad B-23 negara itu terpaksa beraksi enam perlawanan secara berterusan sepanjang tempoh 12 hari.
Biarpun ada pihak yang menganggap itu hanya alasan selepas kegagalan, namun ia tetap perlu dipertimbangkan kerana pilihan terhad pemain dihadapi Kim Swee yang amat merasai ketiadaan Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Syahrul Azwari Ibrahim, Nik Shahrul Azim Ab Halim, Amer Saidin serta pemain berdarah campuran Sweden, Junior Eldstal yang kesemuanya mengalami kecederaan.
Malah untuk melakukan penggiliran pemain bagi mengharungi enam perlawanan berkenaan, Kim Swee tidak memiliki pilihan ramai pemain bergred A dalam skuad 20 pemain yang didaftarkan kali ini dengan tiga pemain – Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas dan Shahrul Saad terpaksa beraksi penuh dalam kesemua 480 minit masa permainan.
Pemain lain yang turut diturunkan dalam kesemua enam perlawanan biarpun tidak sepenuh masa ialah kapten Irfan Fazail, D Saarvindran, A Thamil Arasu dan Nazmi Faiz Mansor, sekali gus pasti memberi sedikit kesan dalam persembahan mereka terutama pada aksi separuh akhir dan perlawanan penentuan tempat ketiga.
Namun apa yang positifnya, Malaysia masih memiliki kelompok pemain berkaliber yang belum melepasi had usia 23 tahun pada Sukan SEA 2015 di Singapura iaitu lapan pemain dari skuad kali ini - Shahrul, Saarvindran dan Nazmi serta Rozaimi Ab Rahman, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj, Wan Amirzafran Wan Nadris serta penjaga gol simpanan, Farhan Abu Bakar.