Quantcast
Channel: Pilihan Anda
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

Syiah: Golongan Ahli Sunnah jahil - Dr Mohd Faizal Musa

$
0
0
Kejahilan dan tindakan melampau golongan Islam aliran Sunnah yang mempengaruhi pihak berkuasa agama telah mendorong gerakan anti-Syiah di Malaysia walaupun masyarakat minoriti ini sebenarnya mempunyai susur galur yang kukuh di negara ini sejak berabad lalu, kata seorang ahli akademik.

Dr Mohd Faizal Musa, ahli sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata ekstremis di kalangan pihak berkuasa agama telah menyebarkan mitos bahawa Islam Syiah hanya bermula pada tahun 1979, iaitu ketika Revolusi Islam Iran, dan kononnya mazhab yang merupakan kedua terbesar dalam Islam ini merupakan satu ancaman luar.

Faizal berhujah sikap tidak toleran pihak berkuasa agama dan kumpulan Islam Sunnnah terhadap golongan Syiah adalah kerana mereka telah dipengaruhi oleh Wahabi – fahaman konservatif Islam yang berasal dari Arab Saudi.

Katanya, Wahabi juga menyukarkan dialog Sunnah-Syiah, dan lama-kelamaan kejahilan dan ketakutan masyarakat Sunnnah terhadap Syiah menjadi sebati.

Menurut Faizal, masyarakat Islam Syiah bermula seawal abad ke-14 iaitu sezaman dengan ketibaan Islam aliran Sunnah ke Asia Tenggara melalui pedagang-pedagang Arab.

Komuniti ini terus berkembang di Indonesia, Thailand, Myanmar, Singapura dan Malaysia, ditambah dengan kedatangan pengikut Syiah dari Pakistan, Afghanistan dan India.

Sejak berabad lamanya, kedua-dua komuniti ini tinggal bersama dan disatukan melalui perkahwinan tanpa sebarang permusuhan atau konflik.

Malah, ada pengikut fahaman Syiah yang ditemuramah Faizal masih dapat mengesan asal-usul mereka sehingga seawal tahun 1800.

“Semasa menjalankan penyelidikan di Kelantan, saya temui sebuah keluarga Syiah yang mendakwa nenek moyang mereka berasal dari Turki… yang melarikan diri daripada dasar cukai Empayar Uthmaniyyah yang menindas semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.

“Silang selidik dengan sejarah Uthmaniyah menunjukkan pada tahun 1890, kerajaan Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) cuba untuk membendung Syiah dan menukar mereka menjadi Sunni,” kata Faizal dalam sebuah kertas kerjanya tentang minoriti Syiah di Malaysia.

Penemuan ini menyangkal hujah yang digunakan pihak berkuasa agama dan kumpulan Islam Sunnah di negara ini, bahawa minoriti Syiah yang berjumlah lebih 200,000 pengikut adalah ancaman terbaru dari luar negara terhadap pegangan Sunnah di Malaysia.

Minggu lalu, Umno yang mempunyai keanggotaan terbesar di kalangan Melayu-Islam negara ini, menuntut agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memastikan agama rasmi didefinasikan sebagai Islam Sunnah.

Dalam perhimpunan agung tahunannya, Umno juga mahu pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas terhadap Islam Syiah, di samping golongan homoseksual, ajaran sesat, dan golongan yang dianggap menghina Islam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa agama menyerbu beberapa lokasi dan menangkap puluhan pengikut Syiah kerana mengamalkan fahaman itu.

Walaupun Syiah adalah kelompok kedua terbesar dalam Islam, di Malaysia, pengikut aliran Sunnah dan parti-parti politik menganggap ia sesat.

Ini bertentangan dengan fatwa para ulama Universiti Al-Azhar, Mesir, sebuah universiti tertua di dunia yang melahirkan ramai ilmuan Islam, yang telah berulang kali menegaskan bahawa Syiah adalah sebahagian daripada Islam.

Oleh kerana diskriminasi ini, kata Faizal, pengikut Islam Melayu Syiah cenderung menyembunyikan kepercayaan mereka lalu terpaksa mengamalkan “taqiyyah” kerana bimbang diskriminasi oleh majoriti masyarakat Islam Sunnah.

Keadaan ini, bagaimanapun, mula berubah selepas Revolusi Islam Iran pada 1979, di mana pengikut Syiah di Malaysia menjadi lebih yakin untuk mengaku mereka adalah Syiah.

“Ramai daripada mereka meninggalkan taqiyyah dan menjadi lebih berani dan aktif serta terbuka mengakui sebagai Syiah di samping mencari lebih ramai pengikut.”

Tetapi pada tahun 1996, suatu ketetapan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan telah dikeluarkan untuk membendung hak minoriti Syiah untuk mengamalkan kepercayaan mereka. – The Malaysian Insider.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129