Quantcast
Channel: Pilihan Anda
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129

Dua asrama dirompak, seorang dirogol

$
0
0
KOTA TINGGI 17 Ogos - Dua asrama kilang menempatkan pekerja wanita di Jalan Kijang, Taman Kota dan Jalan Belinjau, Taman Kota Jaya di sini, dirompak hampir serentak oleh penjenayah pada malam tadi.

Dalam kejadian itu, suspek turut bertindak melarikan seorang pekerja wanita dan merogol mangsa.

Penolong pengurus kilang terbabit, Loo Soon Fah berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian pecah masuk ke asrama pekerja wanita warga Nepal di Jalan Belinjau pada pukul 10.11 malam lalu meminta seorang pekerja lelaki tempatan membuat pemeriksaan dan laporan polis.

"Walau bagaimanapun kira-kira pukul 10.45 malam, saya dikejutkan pula dengan kejadian serupa di asrama pekerja wanita warga Myanmar di Taman Kota.

"Tiada kecederaan berlaku dalam kedua-dua insiden itu tetapi saya kesal kerana seorang daripada pekerja wanita kami telah dilarikan dan dipercayai menjadi mangsa rogol," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Sementara itu, rakan kepada mangsa rogol, Myat Soe Thu, 25, berkata, dua suspek yang memakai topi dan sarung muka meluru masuk ke dalam asrama yang menempatkan 15 wanita Myanmar.

Katanya, suspek meletakkan parang di leher salah seorang rakannya manakala seorang lagi penjenayah yang berbadan besar menunggu di luar.

"Suspek mengarahkan kami berkumpul di tengah rumah sambil meminta kami menyerahkan barang berharga termasuk wang tunai dan telefon bimbit ke dalam baldi.

"Dalam keadaan kecoh itu, kami cuba melarikan diri melalui pintu hadapan tetapi sebaik sahaja suspek beredar, kami dapati seorang rakan telah dilarikan penjenayah," katanya.

Soe Thu berkata, suspek dipercayai melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Gen 2 berwarna kelabu bersama rakannya sebelum merogol dan meninggalkan mangsa di tepi jalan berhampiran asrama pada pukul 12.15 tengah malam.

Pekerja lelaki yang membuat laporan polis, Ahmad Pauzi Ikhsan memberitahu, jarak antara kedua-dua asrama yang terlibat dalam kejadian samun itu adalah kira-kira tiga kilometer.

Kata Ahmad Pauzi, berdasarkan keterangan rakannya dalam kejadian pertama, dia mengesyaki insiden rompakan itu didalangi kumpulan yang sama.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nor Rasid ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9129